Marilah sama-sama kita meningkatkan ketakwaan kepada Allah s.w.t. dengan mematuhi segala perintah-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya, mudah-mudahan kita menjadi manusia yang berjaya dan maju dalam mengharungi cabaran kehidupan di dunia ini serta dijauhi dari segala bentuk kemiskinan, kemunduran serta kemelaratan.
Kebanyakkan umat Islam diseluruh dunia sekarang ini masih jauh ketinggalan jika dibandingkan dengan yang bukan Islam dalam semua aspek dan bidang kehidupan. Negara-negara Islam sering dikaitkan dengan kemunduran dan kemiskinan. Disamping itu terlalu banyak masalah yang melanda negara-negara Islam sama ada dari segi politik, ekonomi dan sosial. Perang saudara, perebutan kuasa, perbezaan fahaman politik, perbezaan mazhab dan lain-lain telah melemahkan umat Islam secara keseluruhannya. Bahkan pendekatan dalam memahami Islam dengan tidak mengikut neraca Islam yang sebenarnya, akhlak dan nilai-nilai murni juga tidak diutamakan dan seolah-olah tiada nilai kesuciannya lagi. Sementara itu ukuran hidup umat Islam berdasarkan kepada kebendaan, kepentingan harta, keuntungan meterial, kemewahan, keseronokan dalam melakukan maksiat dan kemungkaran serta menimbulkan keraguan terhadap agama dan nilai-nilai akhlak Islam. Penekanan kepada aspek kerohanian semata-mata menyebabkan penghayatan agama itu mati, hilang rohnya, hati menjadi keras dan tidak dapat menegah kemungkaran yang berada dipersekitarannya.
Sidang hadirin sekalian,
Diantara faktor-faktor yang menjadikan umat Islam lemah, miskin dan mundur ialah:
Pertama - Lemah dalam fahaman Islam.
Kelemahan yang dimaksudkan ialah kelemahan dalam memahami Islam sehingga mengakibatkan lahirnya pemikiran atau fahaman yang mengelirukan disebabkan hawa nafsu dan kepentingan peribadi sehingga perbezaan tersebut merosakkan akidah yang mengakibatkan lahirnya kelompok-kelompok yang mengambil jalan mudah dengan apa yang diajarkan oleh Rasulullah s.a.w. seperti lahirnya berbagai fahaman dan ajaran-ajaran sesat yang memecahbelahkan perpaduan di kalangan masyarakat.
Kedua - Lemah dalam membangun kekuatan ekonomi.
Kedudukan ekonomi umat Islam secara keseluruhannya amat menyedihkan jika dibandingkan dengan ekonomi di kalangan Islam. Ini adalah berpunca daripada kegagalan mereka sendiri menghayati serta memahami tuntutan Islam sebagai satu cara hidup yang lengkap lagi sempurna.
Sidang Jumaat yang berbahagia,
Pada hari ini terdapat lebih daripada 20 buah negara Islam dengan penduduknya melebihi 600 juta orang, tergolong dalam kumpulan negara yanng berpendapatan rendah bahkan dibelenggu kemiskinan, Ini bermakna 1/2 peratus dari jumlah 1,200 juta umat Islam sahaja yang boleh dikatakan kaya sementara lebih 50 peratus umat Islam berada dalam kemiskinan. Perkara ini sangat bertentangan dengan kehendak Islam yang menggalakkan umatnya supaya meningkatkan taraf ekonomi mereka. Ini kerana Islam mahukan umatnya maju dalam kehidupan dan bukannya hidup dalam keadaan miskin dan melarat.
Sidang Jumaat yang dimuliakan,
Islam menggalakkan umatnya supaya berusaha mencari kekayaan , kerana daripada kekayaan dan harta yang diperolehi inilah umat islam dapat membantu saudara Islam yang lain dengan berzakat ,bersedekah,berukuf,menderma dan sebagainya. Sebaliknya bagaimanakah umat islam akan maju sekiranya mereka masih dalam keadaan kemiskinan. Bagaimanakah mereka dapat membantu golongan fakir dan miskin sekiranya mereka juga tidak berkemampuan?. Bagaimanakah mereka dapat menunaikan fardhu haji dan ibadat-ibadat yang lain sekiranya umat Islam tidak berusaha untuk mencari harta.
Ketiga - Lemah dalam membangunkan peradaban
Peradaban adalah hasil daripada daya cipta dan kehendak manusia yang dikembangkan berdasarkan kemajuan sains dan teknologi.Sejarah telah membuktikan Islam telah mengubah nasib umatnya yang mundur menjadi maju dan tinggi tamadunnya. Masyarakat Islam telah mencapai kemajuan dalam pelbagai bidang terutama dalam memperluas dan mendalami berbagai ilmu pengetahuan seperti sains ,perubatan, kejururawatan dan lain-lain.
Bahkan masyarakat islam juga terbukti telah berjaya menjelajah lautan dan muka bumi untuk menyebarkan ajaran islam serta ilmu pengetahuan.
Firman Allah s.w.t. yang bermaksud:
"Salah seorang anak Nabi Syuib berkata:" Wahai ayah, ambillah dia menjadi orang upahan (mengembala kambing kita), sesungguhnya sebaik-baik orang yang ayah ambil bekerja ialah orang yang kuat,lagi amanah".
-Al-Kisas ayat 26-
Sidang hadirin yang dihormati Allah,
Apa yang telah berlaku kepada umat islam terutamanya setelah dijajah berkurun-kurun lamanya tidak langsung mencerminkan keunggulan islam itu sendiri. Masyarakat islam menjadi begitu lemah dan lesu seolah-olah tidak langsung mempunyai kemampuan untuk meningkatkan imej yang sebenarnya.
Keempat - Umat islam berpecah belah
Umat islam lemah kerana berpecah belah dan tidak ada penyatuan dikalangan mereka, berpecah kerana berbeza pandangan ,pendapat,perbezaan idealogi politik dan sebagainya, sedangkan Allah s.w.t. telah mengingatkan:
"Dan berpegang teguhlah kamu sekalian dengan tali Allah (agama islam) dan janganlah kamu bercerai berai".
Kelima - Umat islam terlalu mencintai dunia
Dalam hal ini Rasulullah s.a.w. telah bersabda yang maksudnya:
"Hampir-hampir sahaja bangsa-bangsa lain mengerumuni kamu sebagaimana orang ramai menyambut hidangan makanan".Sahabat bertanya: "Apakah ketika itu sedikit bilangan umat islam wahai Rasulullah?" Baginda menjawab : "Bilangan kamu ramai, tetapi kamu seperti buih dilautan. (Pada saat) itu Allah mengangkat dari hati musuh-musuh rasa takut kepada kamu dan Allah melemparkan wahana di hati kamu". Mereka bertanya:" Apa itu wahana wahai Rasulullah?. Baginda menjawab: "Cintakan dunia dan takutkan mati".
- Riwayat Ahmad Abu Daud-
Sidang Jumaat yang berbahagia,
Kemiskinan dan kemunduran umat islam hari ini adalah kesalahan mereka sendiri.Kita sebagai manusia yang telah dikurniakan akal fikiran dan tenaga, sewajarnya berusaha bersungguh-sungguh untuk mencapai segala kehendak dan cita-cita demi untuk memajukan dan meninggikan taraf kehidupan seharian. Sebaliknya ramai umat islam hanya berserah pada takdir diatas kemiskinan yang melanda kehidupan mereka , seolah-olah mereka tidak mampu lagi untuk berbuat apa-apa melainkan mengharap satu mukjizat atau keajaiban yang tiba-tiba muncul mengubah kehidupan mereka.
Firman Allah s.w.t. yang bermaksud:
"Sesungguhnya Allah tidak mengubah (nasib) sesuatu kaum itu sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri".
- Ar-Ra'da ayat 11 -
Sidang hadirin yang dihormati Allah,
Kita sepatutnya bersyukur kerana negara kita dilimpahkan rahmat dengan tanah yang subur dan penghasilan yang banyak sehingga dapat menjalani kehidupan dengan mudah dan selesa tidak seperti disesetengah negara Islam yang lain. Terdapat segelintir daripada mereka yang terpaksa menggadaikan agama semata-mata kerana kesempitan hidup yang dilalui. Kita berbangga kerana pemerintah hari ini peka tentang masalah kemiskinan rakyat. Banyak usaha-usaha yang dijalankan untuk mengurangkan kadar kemiskinan. Secara keseluruhannya kadar kemiskinan di negara kita telah berkurangan daripada 8.5 peratus pada tahun 1999 kepada 7.5 peratus pada tahun 2004. Begitu juga kadar kemiskinan tegar semakin berkurangan iaitu daripada 1.9 peratus kepada 1.2 peratus.Justeru melalui rancangan Malaysia ke-9, usaha-usaha murni pihak kerajaan telah menetapkan sasaran untuk mengurangkan kadar kemiskinan keseluruhan kepada 2.8 peratus dan membasmi kemiskinan tegar menjelang tahun 2010.Mudah-mudahan usaha murni ini akan berjaya dan negara kita menjadi 'Role Model' kepada negara-negara Islam yang lain.
Islam menyeru umatnya supaya mencari kebahagiaan di akhirat melalui apa yang dikurniakan kepada kita.Kebahagiaan di akhirat wajar kita usahakan di dunia ini dengan menggunakan segala yang dikurniakan oleh Allah. Oleh itu, marilah kita menggunakan ilmu, kemahiran dan segala apa yang ada, untuk mencari segala harta dan kekayaan yang halal. Dengan harta dan kekayaan yang halal itu kita yakin umat Islam boleh membantu sesama mereka, terutama yang miskin atau kurang berkemampuan serta dapat mengurangkan kadar kemiskinan di kalangan umat Islam.
sumber Jab Agama Islam Selangor
Wednesday, July 15, 2009
"KEMISKINAN DAN KEMUNDURAN UMAT ISLAM ADAKAH SATU TAKDIR? "
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment