Oleh: WADIASSOFI JAAFAR
ALOR SETAR: Dalam tempoh empat bulan pertama tahun 2009, terdapat sebanyak 358 kes membabitkan demam denggi daripada 17,501 kes demam denggi di seluruh negara. Dalam tempoh tiga bulan pertama pada tahun 2009, didapati 50,000 premis yang diperiksa tidak mempunyai sebarang pembiakan nyamuk Aedes manakala pemeriksaan yang dijalankan juga mendapati terdapat sebanyak 641 kes pembiakan nyamuk Aedes berlaku dan jumlah kompaun yang berjaya dikutip ialah sebanyak RM491,000.
Ketua Penolong Pengarah, Jabatan Kesihatan Negeri Kedah, Dr. Zainal Hj. Che Mee berkata, sebanyak tujuh kes membabitkan deman denggi didaftarkan ke mahkamah.
“Amalan bergotong-royong adalah langkah terbaik dalam usaha mencegah setiap kawasan daripada pembiakan nyamuk Aedes agar kawasan persekitaran berada dalam keadaan bersih dan indah,” jelasnya.
Menurutnya, sampah sarap termasuk tin-tin kosong dan tayar buruk serta tempurung hendaklah dibersihkan segera agar pembiakan nyamuk Aedes tidak merebak dan kita terhindar daripada sebarang penyakit berjangkit. Beliau berkata demikian pada majlis perbincangan mengenai isu-isu kesihatan dalam negeri Kedah anjuran Persatuan Pembayar-Pembayar Cukai negeri Kedah dengan kerjasama Jabatan Kesihatan Negeri Kedah (JKNK) yang diadakan di JKNK, di sini.
Beliau menjelaskan, sehingga kini tidak ada sebarang kematian akibat daripada demam denggi yang menular di negeri ini.
Mengenai tandas awam yang tidak memuaskan, Presiden Persatuan Pembayar-Pembayar Cukai negeri Kedah, Syed Mansor Syed Salim memberitahu, persatuan itu amat prihatin terhadap masalah yang berlaku itu.
“Dalam hal ini, kebersihan amat penting dalam kehidupan seharian dan kerjasama daripada semua pihak amat diperlukan dalam usaha menjadikan kawasan persekitaran bersih dan mampu mendidik diri dengan aspek kebersihan,” katanya.
Kempen gotong-royong, katanya, adalah langkah terbaik dalam usaha mengajak semua lapisan masyarakat untuk sama-sama berganding bahu dalam melaksanakan tugas berkenaan agar ia tercapai dengan jayanya. “Satu Majlis Jawatankuasa Khas perlu diwujudkan dalam menangani masalah itu dan kita berharap dengan wujudnya jawatankuasa itu akan dapat merealisasikan hasrat berkenaan,” ujarnya.
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Badan-Badan Bukan Kerajaan (NGO) dan Pembangunan Insan, YB. Dr. Ismail Salleh dalam ucapannya berkata, Kerajaan Negeri memandang serius terhadap masalah yang berlaku itu dan tindakan segera perlu diambil untuk mengatasi masalah berkenaan.
“Pihak berkuasa tempatan (PBT) perlu menangani segera masalah itu dan tahap kebersihan perlu dijaga agar persekitaran di setiap kawasan berada dalam keadaan bersih dan indah,” tambahnya.
Tuesday, May 12, 2009
Denggi masih jadi ancaman di Kedah
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment