AL-HASIIB merupakan nama indah Ilahi. Zikir dengan mengucapkan kalimah Hasbiyallah yang ertinya cukuplah bagiku
Allah. Dialah yang menghitung segala amalan makhluk-Nya pada Hari Kiamat kelak dan memberikan balasan atas
amalan-amalan itu.
Sebahagian ulama menyebutkan Al-Hasiib bermaksud memberi sesuatu yang mencukupi segala keperluan hambahamba-Nya.Al-Hasiib adalah ayat yang memberitahu tentang persoalan yang bakal dihadapi seseorang pada hari kiamat iaitu perhitungan amal perbuatan yang dikerjakan di dunia ini akan dihitung oleh Allah SWT satu demi satu mulai daripada hal besar hingga yang sekecil-kecilnya.
Pada hari perhitungan tersebut, Allah SWT akan membangkitkan seluruh makhluk daripada awal penciptaan hingga yang terakhir dan mengumpulkannya di satu tempat yang luas iaitu Mahsyar, seperti maksud firman-Nya dalam surah Maryam 93-95.
'Tidak seorang pun di langit dan di bumi kecuali akan datang kepada Tuhan yang Maha Pemurah selaku seorang hamba. Sesungguhnya Allah telah menentukan jumlah mereka dan menghitung mereka dengan hitungan yang teliti.
Tiap-tiap mereka akan datang kepada Allah pada hari kiamat dengan sendiri-sendiri.'
Dan maksud firman dalam surah Al-Zalzalah: 7-8 pula:
'Barangsiapa yang mengerjakan amalan-amalan baik sekalipun sebesar zarah dia pasti akan melihatnya dan menerima balasannya. Dan sesiapa yang berbuat jahat sekalipun sebesar zarah dia pasti akan melihatnya dan menerima balasannya.'
Menurut ulama, semua makhluk dihisab dalam satu waktu saja. Ini satu proses yang sukar diterima akal tetapi ia menunjukkan keagungan Allah. Maha suci Allah yang memiliki, yang mempunyai kekuasaan yang tunggal seperti maksud firman-Nya dalam surah Al-An'am: 62:
'Dialah yang lebih pantas mengira.'
Untuk menghayati erti nama ini hendaklah kita takut kepada Allah swt, mengharap, membesarkan dan berasa gerun akan keagungan-Nya. Ibnu Abbas ra menyatakan: 'Hasbunallahu wa ni'mal wakil. Adalah kalimah yang terakhir diucapkan Nabi Ibrahim sebelum baginda dilemparkan ke dalam bara api. Ia diucapkan oleh Nabi Muhammad saw ketika baginda dan sahabatnya diberitahu bahawa:
'Sesungguhnya manusia telah mengumpulkan pasukan untuk menyerang kamu kerana itu takutlah kepada mereka, maka perkataan itu menambah keimanan mereka, dan mereka menjawab: 'Cukuplah Allah menjadi penolong kami dan Allah adalah sebaik-baik pelindung' .'
Melalui ayat di atas Allah menjelaskan bahawa selain berikhtiar, Muslim hendaklah berdoa dan bergantung pada-Nya dalam menghadapi apa jua cabaran.
KLpos.com - Apa Siapa Mengapa :: Suara Umat Melayu
Thursday, July 9, 2009
Tazkirah: Setiap perbuatan ada hitunganNya
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment