Apa saja yang kita terlalu banggakan hingga membuat orang lain terasa, pasti akan ditarik pergi dari kita perlahan-lahan tanpa kita sendiri sedari. By ShueQry

Tuesday, August 11, 2009

Cap jari, muka bukan Noordin

Polis masih tunggu ujian DNA

JAKARTA: Cap jari, bentuk muka dan badan lelaki yang ditembak mati dalam operasi keselamatan di Temanggung, Jawa Tengah, Sabtu lalu, tidak menyamai suspek pengganas paling dikehendaki, Nordin Mohd Top, kata polis Indonesia.

Akhbar Jakarta Globe memetik sumber kanan polis sebagai berkata demikian di tengah-tengah spekulasi baru menyatakan pengganas paling diburu di Asia Tenggara itu bukanlah lelaki yang ditembak mati berkenaan.

"Berdasarkan kepada cap jari, bentuk mukanya dan bentuk badan kami dapat mengesahkan bahawa mayat itu bukan Noordin," kata seorang pegawai kanan dari unit anti keganasan kepada akhbar berkenaan.
Polis Indonesia secara rasminya masih enggan mengulas mengenai laporan yang tersebar dalam media tempatan bahawa mayat lelaki itu bukan Noordin.

Polis masih bertegas dengan kenyataan bahawa hanya ujian DNA akan mengesahkan identiti lelaki yang ditembak mati oleh anggota keselamatan selepas tembak menembak selama 17 jam di sebuah kawasan pedalaman di Jawa Tengah.

"Lebih baik kami menanti keputusan pengecaman forensik. Saya tidak dapat memberikan komen mengenai perkara itu," kata pegawai kanan anti keganasan, Ansyad Mbai.

Beberapa penganalisis juga tidak percaya bahawa mayat lelaki terbabit adalah Noordin yang didakwa dalang beberapa serangan ganas di Indonesia dan mengetuai kumpulan serpihan rangkaian pengganas serantau, Jemaah Islamiah (JI).

Polis hampir menahan Noordin beberapa kali sebelum ini dan menahan atau membunuh beberapa pembantu rapatnya sepanjang enam tahun buruan.

Mereka meningkatkan buruan terhadapnya sejak pengeboman pada 17 Julai lalu membabitkan Hotel JW Marriott dan Ritz-Carlton di ibu negara yang membunuh tujuh orang termasuk enam rakyat asing selain dua pengebom.

Serbuan polis terhadap tempat persembunyian yang dipercayai digunakan Noordin itu dilakukan pada hari sama polis melancarkan operasi terhadap sebuah rumah di Bekasi, pinggir Jakarta. – AFP

Berita Harian

0 comments:

Post a Comment